About

Lifeline 5 berjaya memasuki Gaza!

بسم الله الرحمن الرحيمالسلام عليكم رحمة الله وبركاته

Laporan PressTV menyampaikan berita gembira misi Lifeline 5 yang dipimpin oleh Viva Palestina telah berjaya melintasi pintu Rafah dan memasuki Gaza.

Semalam, Khamis 21 Oktober, misi bantuan kemanusiaan yang melibatkan sebanyak 150 buah kenderaan bersama 370 orang aktivis daripada 30 buah negara itu telah berjaya memasuki Gaza, membawa bersama mereka bekalan berupa makanan, ambulan, ubat-ubatan dan keperluan asas yang lain yang dianggarkan bernilai USD5 juta.

Berita ini menggambarkan satu kejayaan dalam usaha aktivis-aktivis kemanusiaan memecah sekatan yang dikenakan oleh Zionis ke atas rakyat Gaza sejak lebih 3 tahun lalu. Sekatan kejam Zionis ini menyebabkan 1.5 juta penduduk di Gaza kehabisan keperluan asas samada makanan, ubat-ubatan mahupun bekalan minyak bagi menjana bekalan elektrik. Sekatan yang secara umumnya melumpuhkan kegiatan sosial dan ekonomi ini menyebabkan lebih 80% penduduk tidak mempunyai pekerjaan bagi menyara hidup keluarga dan terpaksa bergantung kepada bantuan luar. Namun semua usaha membawa masuk bantuan sebelum ini mendapat tentangan, sekatan dan juga serangan daripada pihak Zionis Israel.

Misi bantuan Lifeline 5 yang bertolak daripada kota London pada 18 September lalu meneruskan perjuangan misi-misi sebelum ini yang kebanyakannya gagal menembusi sekatan rejim Zionis. Mereka terpaksa melalui perjalanan sejauh 3,000 batu, merentasi negara Perancis, Itali, Greece, Turki, Syria dan juga Mesir. Mereka juga terpaksa menuggu selama beberapa hari di Latakia, Syria sementara mendapatkan kebenaran pihak berkuasa Mesir bagi memasuki negara tersebut. Agak malang, 17 orang daripada mereka, termasuk ketua konvoi George Galloway, dilarang daripada memasuki negara Mesir. Namun Alhamdulillah, konvoi bantuan kemanusiaan ini merupakan yang terbesar berjaya masuk ke Gaza, sekaligus membawa berita gembira kepada semua mereka yang prihatin terhadap krisis kemanusiaan di Gaza lebih-lebih lagi mereka yang diserang tentera Zionis dalam pelayaran Freedom Flotilla akhir Mei lalu.

Aktivis-aktivis daripada Viva Palestina Malaysia dan Aqsa Syarif turut sama berjuang menjayakan misi bersejarah ini.

Tidak ada sebarang laporan mengenai sekatan ataupun konfrontasi yang menghalang kemasukan konvoi ini ke Gaza, samada dari pihak tentera Zionis mahupun pihak berkuasa Mesir. Tentera Israel sebelum ini menyatakan persediaan mereka bagi menyekat kemasukan konvoi ini. Pada bulan Januari lalu, seramai 55 orang aktivis tercedera apabila polis rusuhan Mesir menempur konvoi Viva Palestina di pelabuhan El Arish.

Menurut jurucakap Lifeline 5, Zaher Birawi, pihak berkuasa Mesir pada kali ini tidak meletakkan sebarang syarat kepada mereka untuk memasuki Gaza. “Mesir membantu dan memudahkan kami memasuki Gaza dengan lancar,” kata Birawi sebagaimana dilaporkan PressTV. (mn/PressTV)


credit to: http://www.lifeline4gaza.org/2010/10/22/lifeline-5-berjaya-memasuki-gaza/

0 thoughts: